Kisah Nabi Allah Sulaiman
15. Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.
16. Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: Hai Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.
17. Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).
18. Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyedari;
[19] Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Doa yang Nabi Sulaiman baca ni adalah antara doa yang boleh diamalkan. Ayat ini merakamkan bagaimana Nabi Sulaiman bila dapat nikmat, dia akan bersyukur dan tidak takbur. Dan dia minta kat Allah supaya dia menjadi orang yang tetap bersyukur.
[20] Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah dia dari mereka yang tidak hadir?
Hebat sekali bagaimana seorang ketua ni begitu sensitif dengan ahli di bawahnya. Begitu sensitif bila mana ahlinya tidak datang. Dan menunjukkan betapa tersusunnya sebuah jemaah yang besar sampaikan Nabi Sulaiman ni tidak perlu ada buku kehadiran, tapi dia tahu mana ahli dia yang tidak hadir. Dan sekiranya kita hendak menjadi seorang pemimpin yang baik, kita perlu sensitif dalam hal-hal sebegini.
[21] Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali dia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab dia tidak hadir).
Dalam hal jemaah, Nabi Sulaiman tidak bersangka baik dengan burung Hud Hud. Nabi Sulaiman berjanji sekiranya burung Hud Hud tidak datang dengan alasan yang nyata, Nabi Sulaiman akan menjatuhkan hukuman yang berat dan akan menyembelihnya. Nak gambarkan betapa dahsyatnya hukuman dalam ayat ni sampaikan Nabi Sulaiman ni sanggup nak sembelih burung Hud Hud. Dan alasan yang perlu diberikan oleh burung Hud Hud adalah alasan yang benar-benar nyata. Dalam ayat ni, perkataan yang digunakan adalah Sultan. Kalau guna Sultan dalam bahasa Arab tu adalah betul-betul nak menggambarkan alasan yang jelas. Tak boleh remeh temeh.
[22] Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.
[23] Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan dia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan dia pula mempunyai singgahsana yang besar.
[24] Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk;
[25] (Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.
[26] Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar.
Burung Hud Hud selepas seketika kembali bertemu dengan Nabi Sulaiaman. Dan dia pun membawa satu alasan yang nyata seperti yang diterangkan dalam ayat tersebut. Dia ceritakan kisah sebuah umat yang menyembah matahari. Dan syaitan membuatkan mereka memandang indah perbuatan tersebut.
Banyak pengajaran dalam ayat ni. Bila burung Hud-Hud ni datang, dia tidak cakap saya tidak datang sebab bla..bla..bla..Tapi burung Hud Hud ni cerita dengan detail sekali. Maksudnya, kalau kita ni nak buat sesuatu atau nak berikan pendapat, pastikan kita bawa hujah yang diyakini. Jangan cakap, saya rasalah kan kalau buat macam gini..kita boleh dapat cam gini..Tolonglah jangan sebut sekali-kali mengatakan- “saya rasalah...”. Jangan hanya mengikut persangkaan belaka. Pastikan kita ada dalil-dalil mengapa kita bercakap begitu.
Tapi bila burung Hud Hud membawa berita ni dengan bukti-bukti yang nyata, apa Nabi Sulaiman buat? Kita tengok ayat selepas ini..
[27] Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu ataupun engkau dari golongan yang berdusta.
Nabi Sulaiman tidak percaya lagi. Nabi Sulaiman benar-benar nak mengesahkan perkara tersebut sebab ketidakhadiran ke dalam perhimpunan adalah sesuatu yang sangat besar. Kalau kitalah, kawan kita cakap dia tak datang usrah sebab dia buat kerja dakwah kat satu ceruk kampung, mesti kita percaya kan? Dan yang lain pun, mesti..wah, hebatnya budak ni..Tapi dalam kisah Nabi Sulaiman, dia tidak mudah nak mempercayai sesuatu. Dia nak kaji sedalam-dalamnya. Ni contoh seorang pemimpin yang baik. Mengkaji sesuatu sedalamnya.
[28] Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka.
Lepas tu, Nabi Sulaiman pun kasi assignment kat burung Hud Hud. Suruh campakkan surat dan berundur dengan secepatnya. Kenapa kena berundur dengan secepatnya?? Sebab kalau kita ni lama-lama dalam biah (suasana) yang tidak soleh, kita pun akan tenggelam juga. Dan Nabi Sulaiman pastikan yang burung Hud Hud ni tidak sesat kerana mengikut ajaran penduduk Saba’ dan dia meminta burung Hud Hud untuk kembali secepatnya.
[29] (Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': Wahai ketua-ketua kaum! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.
Kenapa agaknya dalam surah ni Allah cerita pasal musuh? Dan Allah cerita detail pasal perbualan raja perempuan negeri Saba’ ni. Sebab kita dapat belajar sesuatu daripada musuh. (Dalam AlQuran tak sebut pun nama raja ni sebagai Balqis, nama Balqis ni cuma pendapat ulama’). Kerajaan Saba’ ni adalah antara kerajaan yang begitu hebat. Sehinggakan dalam AlQuran, ada satu surah istimewa dinamakan sebagai Saba’. Dalam surah tersebut, Allah cerita dengan begitu mendalam teknologi kaum Saba’ ni antaranya dalam bidang pertanian. Pastinya ada sesuatu yang hebat berkenaan kaum Saba’ ni sehingga menjadi sebuah kerajaan yang begitu hebat dalam peradaban manusia. Apa kehebatan dia? Pemimpin dia melakukan syura (permesyuaratan) dalam apa-apa masalah yang timbul.
[30] Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,
Ayat ni adalah satu-satunya ayat di dalam AlQuran yang mana Basmalah berada di tengah-tengah ayat.
[31] Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah.
[32] Raja perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.
Dalam ayat ni pun, ditekankan prinsip syura. Betapa pandangan setiap orang itu begitu penting dalam satu-satu perkara.
[33] Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
[34] Raja perempuan itu berkata: Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.
[35] Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita
Ini adalah antara ayat-ayat yang menujukkan apa yang kita lakukan apabila kita merasa takut. Kita suka memberi hadiah. Bahasa mudahnya, RASUAH. Dan ini adalah realiti yang berlaku di zaman ini. Apabila kita gerun dengan mana-mana negara, kita memberi hadiah. Dan selalunya hati manusia mudah lebur apabila diberikan hadiah.
[36] Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).
[37] Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.
[38] Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?
Sebab apa Nabi Sulaiman nak pindahkan singgahsana dan bukannya benda lain? Sebab singgahsana ni lambang kekuasaan. Kalau dapat mengalahkan singgahsana, bererti dapat menawan kerajaan tersebut. Dan pada akhir ayat tersebut, Nabi Sulaiman yakin bahawa dakwahnya pasti akan berjaya. Dan seterusnya kita akan melihat apa yang dilakukan pleh pengikut Nabi Sulaiman.
[39] Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.
Inilah contoh pengikut yang baik. Pengikut sebuah kerajaan yang hebat. Dia tidak pernah rasa ‘inferior’. Malah cuba untuk volunteer. Tak sabar-sabar nak melakukan tugas. Sebab dia tahu kekuatan sesuatu kerajaan tersebut bergantung pada dirinya juga meskipun dia hanya orang bawahan.
[40] Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.
Pengikut Nabi Sulaiman ni berebut-rebut untuk melakukan sesuatu dengan cara yang paling baik. Sebagai Muslim, kita juga perlu melakukan sesuatu dengan cara yang paling baik sebab kita nak syurga Jannatul Firdaus, kita nak syurga yang tertinggi . Ada beza ke syurga yang paling bawah dan syurga yang paling atas? Bezanya terlalu jauh. Cuba kita bermusafir dengan Air Asia. Dan satu hari yang lain kita bermusafir dengan Malaysia Airline. Ada beza tak? Destinasinya sama, tapi nikmat perjalanan tersebut pastinya berbeza. Begitu juga dengan syurga. Terlalu jauh bezanya. Pasal tu Rasulullah SAW meminta kita apabila berdoa, mintalah syurga yang paling tinggi.
Dan sekiranya suatu hari kita ditakdirkan menjadi pemimpin yang baik, jangan sekali-kali bongkak. Nabi Sulaiman bimbang semua itu adalah ujian Allah buatnya.
[41] Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah dia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau dia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian.
[42] Maka ketika dia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu? Dia menjawab: Boleh jadi inilah dia dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah).
Ini adalah pusingan pertama kekalahan raja perempuan kerajaan Saba. Dan dia sudahpun mula percaya kepada Allah apabila melihat singgahsananya sendiri di dalam pemerintahan Nabi Sulaiman.
[43] Dan dia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu ialah) apa yang dia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah dia (pada masa itu) dari puak yang kafir.
[44] (Setelah itu) dikatakan kepadanya: Dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka ketika dia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca. (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam.
Selepas itu, Nabi Sulaiman pun menunjukkan pula kekuasaannya. Dan dalam ayat ni detail sekali Allah cerita bagaimana raja perempuan ini menyingsingkan pakaiannya. Sebab pakaian ni adalah lambang kekuasaan di zaman itu..Dan ini adalah kekalahan kedua raja perempuan tersebut dan dia beriman dengan sebenarnya kepada Allah. Betapa kerajaan Nabi Sulaiman dapat mengubah pendirian sebuah kerajaan yang tidak kurang hebatnya juga untuk menyembah Allah. Moga kita mengambil pengajaran daripada kisah ini.
No comments:
Post a Comment