Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
Ir. Adanan Sukri Musa (kiri) bersama Mohd. Noor Abd. Hamid (kanan) di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Penantian 10 tahun penduduk Alam Damai, Cheras untuk memiliki masjid sendiri berakhir apabila kompleks Masjid Al-Mukhlisin yang dibina sejak 17 Mei 2007 diserahkan kepada mereka.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan, Ir. Adanan Sukri Musa berkata, kompleks masjid tersebut dibina lengkap dengan kuarters perumahan, dewan dan sekolah agama rakyat untuk kegunaan penduduk Islam di kawasan tersebut.
Katanya, masjid yang mempunyai reka bentuk Asia Barat itu didirikan di atas tanah seluas kira-kira dua hektar dan boleh memuatkan kira-kira 3,000 jemaah dalam sesuatu masa.
"Selain itu, sekolah agama rakyat yang terdapat dalam kompleks masjid ini boleh menempatkan sehingga 1,000 pelajar untuk mengikuti kelas pengajian agama dan al-Quran.
"Turut disediakan ialah empat unit perumahan kelas F dan sebuah rumah kelas D untuk kemudahan kakitangan yang tinggal di situ nanti," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kompleks masjid tersebut di sini semalam.
Masjid tersebut yang siap dibina pada bulan lalu, diserahkan secara rasmi oleh JKR kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kemudian menyerahkannya kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk diuruskan.
Jakim diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Mohd. Noor Abd. Hamid, manakala Jawi oleh Timbalan Pengarah (Operasi), Zainal Abidin Jaafar.
Adanan berharap masjid yang dibina dengan kos perbelanjaan RM11.3 juta itu dapat dimanfaatkan oleh penduduk Islam untuk menganjurkan aktiviti yang dapat mengeratkan perpaduan ummah di kawasan tersebut.
Sementara itu, setiausaha masjid tersebut, Zarifuddin Othman berkata, kewujudan rumah ibadat tersebut secara tidak langsung akan merapatkan hubungan persaudaraan di kawasan kejiranan berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini mereka hanya menumpang menunaikan solat secara berjemaah di surau-surau taman berhampiran kerana tidak mempunyai masjid yang membolehkan penduduk di situ berkumpul menjalankan kegiatan agama bersama-sama.
"Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan kesesakan seperti yang berlaku di surau Mubarakah di Taman Bukit Cheras," jelasnya.
Zarifuddin menambah, mereka juga mengambil inisiatif sendiri menggunakan rumah salah seorang penduduk kawasan tersebut untuk dijadikan surau sementara.
Menurutnya, penduduk Islam kawasan kejiranan itu bersyukur dan dapat menarik nafas lega kerana kehadiran masjid tersebut membolehkan berbagai aktiviti dakwah dan keagamaan dapat dijalankan.
Dipetik Dari Utusan
No comments:
Post a Comment